Followers

Tuesday, September 2, 2014

Semanis Teh Susu



“Ish, geram betul la duduk dalam rumah ni! Bersepah-sepah ja. Kalau rumah ikhwan tak kata la. Tapi, ni rumah akhawat. Macam sarang tikus ja,” bebel Aufa sambil tangannya ligat mengemas meja makan di ruang tamu.

“Kenapa tu Aufa? Tak baik tau mengungkit-ungkit ni. Kalau tak puas hati, pergi cakap terus kat orang tu. Jangan cakap belakang, OK?” tegur Balqis dalam nada yang lembut. Suasana sepi seketika. Masing-masing memikirkan masalah sendiri.

“Ye la …asyik nak minum teh susu ja, pastu, malas basuh. Nampak sangat ni kerja sapa…” ujar Aufa lagi masih tidak mahu mengalah.

“Aufa, sudah-sudah, Kak Balqis tak nak dengar lagi Aufa cakap macam tu. Kita kan duduk satu rumah, dah ibarat macam satu keluarga dah. Yang Aufa marah tadi tu ibarat adik-beradik Aufa sendiri tau. Aufa sanggup dengar tak kalau ada orang mengata adik-beradik Aufa sendiri? Aufa, kita duduk serumah ni, kita kena banyak bersabar dan mengalah tau. Aufa faham, kan, maksud kak Balqis ni?”

Nasihat Balqis sampai ke hati Aufa, membuatkan lidahnya kelu tidak terkata. Barangkali, Aufa sedang memikirkan kebenaran kata-kata Balqis.

Balqis memerhati gelagat Aufa yang dari tadi masih mengemas seluruh ruang tamu rumah. Pergerakannya selincah mulutnya juga. Sambil menggeleng kepala, Balqis tersenyum nipis. Macam-macam gelagat manusia rupanya. Tanpa berkira, Balqis turut membantu Aufa mengemas.

*************

“Adik-beradik semua, jom makan! Sarapan dulu tau sebelum keluar rumah,” seperti biasa, Husna memekik memanggil ahli rumahnya makan. Suaranya yang lantang boleh membangunkan orang yang sedang nyenyak tidur. Memang kebiasaan setiap pagi, Husna menyiapkan sarapan, kemudian, mengajak semua ahli rumahnya makan bersama. BERJAMA’AH.

Husna memang seorang yang tegas. Dan juga, amat mementingkan soal kesihatan. Dia sangat mengutamakan sarapan pagi dan sanggup menyiapkan sarapan setiap pagi. Satu lagi, Husna ni memang pantang kalau ada sesiapa yang pergi kelas atau keluar rumah sebelum sarapan.

“Ala, asyik-asyik teh susu ja. Laila dah la tak berapa suka minum susu. Esok buat la air lain pulak,” komen Laila dengan selamba. Semua mata memandangnya tepat. Diam.

“Laila, Alhamdulillah tau sebab kita dapat juga makan dan minum. Kita kena banyak bersyukur,” kata-kata Balqis seperti seorang ibu yang sedang menasihatkan anak, membuatkan semua orang tertunduk. Akur dan patuh.

Balqis yang sudah dianggap seperti kakak dan juga tempat bergantung sentiasa menegur dan menasihatkan salah silap mereka. Kata-katanya juga sangat berhikmah dan penuh dengan kelembutan serta kasih-sayang. Sememangnya faktor umur Balqis yang lebih tua setahun daripada mereka semua membuatkan mereka amat menghormatinya.

“Kalau tak suka minum teh susu, lain kali bangun tidur awal sikit. Pastu, buat la air sendiri. Banyak songeh pulak. Orang dah tolong buatkan ni, berterima kasih je lah,” perli Aufa dengan lancangnya. Sengaja hendak menyedarkan Laila. Sedikit sebanyak, marah yang dia simpan untuk Laila terhambur keluar juga.

Ruang meja makan menjadi sayu seketika. Aufa dan Laila memang ada berlaga angin sikit. Pantang berjumpa, ada sahaja yang tidak kena.

“Ok, terima kasih Husna, sebab dah buat teh susu yang sedap ni,” Elya cuba untuk menceriakan suasana dengan senda guraunya. Dia memang periang dengan sifatnya yang manja membuatkan semua jatuh sayang. Padanlah, umurnya juga paling muda antara semuanya. Aufa, Husna, Laila, dan Elya sebaya, tapi, Elya yang muda sebab dia lahir pada bulan November lewat beberapa bulan daripada yang lain.

Memang tidak dapat dinafikan yang mereka semua sebenarnya suka minum teh susu. Walaupun awal-awal perkenalan mereka dulu ada yang tidak berapa suka, tapi hakikatnya dah suka pun. Cuma masih tidak mahu mengatakan kesukaan itu lagi. EGO.

************

“Kenapa pagi ni takdak teh susu?” Laila tertanya-tanya sendiri kehairanan. Dia terus duduk di kerusi di meja makan.

Sambil menatang dulang, Aufa yang keluar dari dapur berjalan menuju ke meja makan dan berkata, “Ni dia teh susu buatan tangan Aufa. Tapi, tak la sesedap yang Husna buat.” Aufa seakan memahami apa yang tersirat dalam hati sahabatnya, Laila.

Pagi itu, walaupun mentari sudah menjengah menampakkan dirinya, ada lagi yang masih enak diulit mimpi. Sudah menjadi kebiasaan mereka tidur selepas Subuh. Mungkin disebabkan malam yang pendek pada musim panas seperti ini, waktu tidur tidak mencukupi.

“Eee, tak sedap la. Tak manis sangat, pastu, tak pekat macam Husna selalu buat,” komen Laila membuatkan Aufa terdiam. Benar-benar menggores hati lembutnya.

“Laila ni kan tak reti nak bersyukur langsung. Bila orang dah buat dia nak komen pulak, bila orang tak buat dia nak ungkit itu la ini la. Kalau nak ikut selera sendiri, pegi la buat sendiri,” akhirnya larva gunung berapi meletus juga daripada mulut Aufa. Sudah lama dia bengang dengan sikap Laila yang tidak pernah hendak bersyukur.

Dengan hati yang sebal, Aufa terus melangkah masuk ke dalam bilik, meninggalkan Laila yang masih terkaku dan terpaku di meja makan.
**********

“Aufa, kenapa ni? Dari tadi lagi kak Balqis tengok masam je muka tu?” tanya Balqis dengan prihatin dan penuh kasih sayang.

“Huk, huk, huk …sedih. Hukhuk…” sayu suara Aufa. Balqis memeluk bahu Aufa yang duduk di sebelahnya di atas katil dan cuba menenangkannya. “Cuba cerita…” bisik Balqis ke telinga Aufa dengan penuh kelembutan.

“Aufa geram sangat dekat Laila tu. Dia selalu je kata orang pastu komen macam-macam. Apa dia ingat dia tu betul sangat la. Menyampah tau,” beritahu Aufa dengan penuh emosi.

Balqis membetulkan kedudukannya. Dia menghadap ke arah Aufa agar mereka saling bertentangan. Dia memandang sayu wajah Aufa. Penuh pengertian. Sudah hampir tujuh bulan mereka tinggal bersama,dia seolah sudah memahami perangai setiap seorang daripada mereka.

Otaknya cuba berfikir bagaimana cara terbaik untuk menenangkan Aufa. “Aufa ingat lagi tak tentang hadis Rasulullah..yang mana pada suatu hari tu, ada seorang lelaki datang menemui Rasulullah. Lalu dia berkata kepada Baginda, “Berikan aku nasihat,” Baginda terus bersabda, “Janganlah kamu marah”. Lelaki itu terus mengulangi permintaannya dan Baginda tetap menjawab, “Janganlah kamu marah”. Sekali lagi dia menuntut persoalan yang sama dan Baginda tetap berkata:”Janganlah kamu marah”. Tiga kali baginda mengucapkan “Janganlah kamu marah” lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kemarahan adalah bara api yang dicampakkan oleh syaitan ke dalam hati Bani Adam…”

Balqis menarik nafas sebelum menyambung kembali butir katanya, “Kak Balqis rasa hadis ni dah cukup untuk Aufa kaji dan muhasabah kembali perbuatan kita.”

Balqis menggenggam erat tangan mulus Aufa, sambil tersenyum. “Kak Balqis tahu Aufa seorang yang kuat dan tabah. Jangan terlalu ikut emosi tau. Aufa cuba fikir dulu sebelum buat apa-apa supaya diri kita tidak dipengaruhi oleh syaitan. OK? Kak Balqis tahu Aufa mampu untuk kawal emosi dan banyakkan bersabar ye dik. Moga Allah sentiasa merahmatimu…” nasihat Balqis seolah butiran permata yang dicerna kemas dalam mindanya.

Aufa turut menyedari kesalahannya. Sebelum ini dia hanya meletakkan kesalahan itu pada Laila sahaja. Aufa berjanji dengan dirinya sendiri untuk lebih bersabar dan mencuba untuk mengawal emosinya. ‘Inilah yang dinamakan JIHAD! Kalau mati dikira SYAHID ni’ bisik hati Aufa masih sempat memikirkan matlamat hidupnya itu.

************

Sejak peristiwa antara Aufa dan Laila hari itu, Aufa banyak berdiam diri. BerMUHASABAH. Bimbang dirinya dikuasai emosi.

Manakala Laila pula mula perasankan sesuatu. Bila dia mengkritik tentang sesuatu, semua orang hanya berdiam. Tidak menegur. Tidak pula membalas kata-katanya seperti selalu. Selalunya, si Aufa lah yang kerap membidasnya.

Timbul rasa bersalah dalam dirinya. ‘Aku ada buat orang terasa hati dengan sikap aku ka?’ Laila bertanya dirinya. Dia cuba mengingati peristiwa lalu…

Laila cuba mencari silapnya. Dia sudah mula menyedari kesalahannya yang lalu. Lirik lagu ‘Sebuah Pertemuan’ dendangan kumpulan Nasyid kegemarannya UNIC dihayati. Kenangan-kenangan indah detik pertemuan mereka diimbau…

Ketika diri mencari sinar, Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar, Tersungkur di lembah kegelapan
Bagaikan terdengar bisikan rindu , Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu , Menyalakan obor pengharapan
Tika ku kealpaan…
Kau bisikkan bicara keinsafan, Kau beri kekuatan, Tika aku
Diuji dengan dugaan…
Saat ku kehilangan keyakinan , Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala
Menitis airmataku keharuan, Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan, Hati yang dahulu keresahan
Cinta yang semakin kesamaran, Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasihMu, oh Tuhan
Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga, Mekar tidak pernah layu,
Damainya hati , Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina
Syukur sungguh di hati ini, Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekatiNya, Tika diri dalam kebuntuan
Betapa aku menghargai, Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti, Cinta hakiki yang abadi
Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasihMu Tuhan

************

Suatu pagi, ketika semua orang masih lagi di dalam selimut, Laila terbangun. Dia berasa sunyi sahaja. Tetapi, hatinya berbunga-bunga bila difikirkan perancangannya sebelum tidur semalam. Hari ini dia rasa bersemangat untuk melancarkan misinya. Lantas dia bangun dari katil ke bilik air. Yang lain, seperti biasa, sesudah solat Subuh meneruskan kerja ikhlas mereka.

Laila terus menapak ke dapur untuk meneruskan perancangannya. Dia leka membuat sarapan. Setelah siap memasak, dia menghidangnya. Saat itu, terdetik di hatinya, ‘Sedap ka aku masak ni? Macam mana kalau takdak orang nak makan? Aku ni bukannya pandai masak sangat. Redha je lah…’

Laila mengajak semua orang makan. Dadanya berdebar-debar hebat. Takut dikritik sebenarnya. Maklumlah, sebelum ini dia yang mengkritik orang. Dia berharap agar rancangannya menyiapkan sarapan menjadi, sebagai permintaan maaf akan salah silapnya sebelum ini. Takut-takut juga tiada yang mahu memakan masakannya.

“Alhamdulillah, sedapnya. Pandai Laila masak,” puji Balqis walaupun masakan Laila biasa-biasa saja hanya nasi goreng biasa dan air. Sudah tentulah teh susu kegemaran bersama. Laila terasa lega. ‘Tapi, teh susu tu macam mana?’

Laila nampak Elya menuang air ke dalam cawan lalu diminum. “Wah, sedapnya. Lepas ni Laila boleh la ganti Husna buat teh susu pulak ye.”

Laila terharu mendengar komen positif daripada sahabat-sahabatnya. Walaupun hakikatnya rasa teh susu itu tidak dapat menandingi teh susu Husna, mereka semua tetap memujinya.

Laila bertambah sedar akan kelancangannya sebelum ini. Dia juga dapat merasakan bagaimana perasaan sahabat-sahabatnya apabila membuat sesuatu, seperti memasak dengan penat lelah dan bersungguh-sungguh, akhirnya tidak dihargai malah dikritik pula. Pasti sedih dan kecewa rasanya. Laila bersyukur, secara berhikmah Allah menegur sikapnya. Dia juga bersyukur dikurniakan sahabat-sahabat yang sudah dianggap sebagai adik-beradik yang sangat baik dan penyayang. Walaupun banyak kesalahan dan kesilapan yang dilakukan, mereka masih sabar dan tidak menyisihkannya. Malah, menegur kesalahannya dengan berhikmah.

Ukhwah mereka bermula dengan ketetapan ALLAH. Bertaut kerana teh susu, Menjadi semakin erat semanis teh susu. Tetap akan segar dalam kenangan bersama teh susu. Moga kekal hingga ke syurga dengan kenikmatan teh susu di syurga.