Tingkah Laku Semasa Temuduga
01.Semasa hendak masuk ke bilik temuduga
JANGANLAH gentar. Buatlah seperti biasa saja.Ucapkan "Selamat Pagi" atau "Selamat Petang" mengikut pada keadaan waktu. Ini nanti akan memberi perasaan mesra di antara anda dan penemuduga.
02.Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi penemuduga itu tidak berbuat gerakan dahulu yang ianya hendak berbuat demikian.
03.Janganlah anda duduk selagi tidak disuruh. Apabila anda disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta tegakkan badan. Jangan menggelisah.
04.Jangan anda letakkan barang-barang atau tangan ataupun siku anda di atas meja penemuduga itu.
05.Jangan anda cuba hendak mengalih keadaan kerusi yang disediakan itu.
06.Jangan goyang-goyangkan kaki ataupun menggerakkannya di sana sini. Jangan pula anda cuba hendak membaca surat-surat dan lain-lain kertas di atas meja penemuduga itu.
07.Biarkan penemuduga itu memulakan temuduga.
08.Janganlah anda menjawab soalan-soalan dengan tergopoh-gapah. Sebaliknya jawablah dengan tenang dan jelas serta mudah didengar. Jawapan yang anda beri itu hendaklah tepat. Jangan bercakap panjang lebar, dan jangan gunakan bahasa kasar.
09.Apabila bercakap pandanglah ke muka penemuduga itu. Jika ahli-ahli panel yang menemuduga itu lebih daripada seorang maka arahkan jawapan-jawapan anda kepada Ketua Panel.
10.Gunakan perkataan seperti Tuan atau Puan pada orang yang tertentu dari masa ke semasa, tetapi janganlah selalu menggunakannya.
11.Jangan menyampuk semasa penemuduga itu sedang bercakap dan jangan sekali-kali berbalah dengannya.
12.Jangan merokok ataupun mengunyah apa-apa di dalam mulut.
13.Jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata yang tidak benar semasa dalam temuduga.
14.Jika anda tidak tahu jawapan yang disoal itu, janganlah cuba hendak berbohong ataupun mendiamkan diri kerana ini akan melemahkan peluang anda. Eloklah anda bercakap terus terang yang anda tidak tahu.
15.Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga anda, persekolahan, kegemaran dan aktiviti anda.Jangan bercakap melebihi dan yang tidak sepatutnya.
16.Jangan berbincang apa-apa masalah peribadi anda semasa temuduga.
17.Jika anda pernah bekerja dahulu, berilah keterangan dengan ringkas dan tepat berkenaan dengan pekerjaan itu.
18.Jangan sekali-kali anda cuba hendak mencela bekas majikan anda.
19.Nyatakan kelayakan dan kelulusan anda yang benar, tetapi janganlah membesar-besarkan perkara itu.
20.Anda hendaklah mengetahui serba sedikit akan tugas-tugas yang bersabit dengan pekerjaan itu, masa yang dijangka kena bekerja dan gajinya yang akan dibayar pada permulaannya.
21.Bersedialah untuk memberitahu kadar gaji yang anda ingin. Walau bagaimanapun biarlah penemuduga itu mengemukakan perkara itu terlebih dahulu.
22.Jika penemuduga tidak menyatakan tarikh yang sepatutnya anda mengetahui keputusan temuduga itu, eloklah supaya anda boleh datang lagi ke pejabatnya untuk mengetahui keputusan itu. Jika ia bersetuju tanyakan tarikh dan masa yang sesuai baginya.
23.Biarkan penemuduga itu menamatkan temuduga.
24.Ucapkan terima kasih kepada penemuduga kerana memberi peluang kepada anda menyertai temuduga itu.
Penilaian Temuduga
Dalam temuduga lazimnya penemuduga akan menilai diri anda dalam perkara-perkara seperti yang dijadualkan di bawah: Amat Baik, Baik, Sederhana, Lemah Catitan
PARAS RUPA FIZIKAL
- Kekemasan dan cara berpakaian.
TINGKAHLAKU
- Perlakuan am, kesopanan, gaya dan ketenangan.
KEPETAHAN BERTUTUR
- Tenang, kelancaran penyampaian, perbendaharaan kata dan pemilihan perkataan dan penyampaian yang jelas.
KEYAKINAN
- Keyakinan diri, kematangan sikap dan pendapat, ketabahan dan kepastian.
KEWIBAWAAN
-Personaliti yang tegas lagi bertenaga, keupayaan untuk menyakinkan dan mempertahankan hujah.
MOTIVASI
- Desakan/kesungguhan, penyertaan dalam perbualan/perbincangan.
PEMBAWAAN
- Kemesraan dan kemampuan bergaul, perangai, berfikiran luas, kawalan emosi.
KECERDASAN
- Keupayaan analitikal, kecekapan menjawab, mentaakul, membina dan berfikiran logik.
PENGETAHUAN
- Berhubung dengan kelayakan dan pengalaman
Penilaian Temuduga Sepenuhnya
Jika boleh jadi anda akan diambil terus untuk bekerja selepas temuduga itu ataupun anda akan diberitahu oleh penemuduga tentang keputusannya di dalam beberapa hari kelak. Jikalau anda tidak berjaya mendapat pekerjaan itu, janganlah berputus asa. Setiap kali anda ditemuduga, ianya akan menambahkan lagi pengalaman anda dan anda juga akan berpeluang untuk membaiki cara-cara dan kedudukan yang lepas.
0 budak mengomen:
Catat Ulasan