Followers

Selasa, 19 Julai 2011

Abang Amran Bercerita Pt 4 “ Panas Baran”


(Sekadar gambar hiasan)

Assalamua’laikum semua..
Hari ini pula, Abang Amran ingin bercerita mengenai sifat tercela yang dibenci oleh Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W. iaitu marah dan panas baran.
“Adik- adik, perasaan marah yang gagal dikawal sebenarnya boleh menimbulkan sifat keji lain seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh. Gagal mengawal emosi atau cepat naik angin biasanya berlaku ketika seseorang itu hilang pertimbangan. Sikap marah yang terlampau, panas baran, kepala angin, naik hantu, yang disebabkan kesukaran menangani perasaan marah boleh menyebabkan seseorang itu hilang sifat malu, sanggup bertindak di luar batasan sehingga kadang kala boleh mencederakan orang lain. Perasan marah yang tidak terkawal boleh memusnahkan apa saja. Sikap marah antara puca syaitan dapat masuk ke hati manusia”, kata Abang Amran.
“Abang Amran,bagaimana jika kita tak dapat kawal marah? Berdosa tak?”, Tanya Zulaikha.
“Bagus soalan tu. Zulaikha, Islam memuji umatnya yang dapat mengawal perasaan marah. Islam mengajar umatnya menahan diri ketika marah dan sabar apabila melawan hawa nafsu yang meluap-luap itu. Memang ada diantara kita tak dapat kawal perasaan marah itu, tetapi lebih baik kita belajar menenangkan diri sebelum melepaskan geram atau menghamburkan kata-kata yang tidak baik kepada pihak lain. Selain itu, kita sebagai insan yang berakal mestilah menilai dulu sesuatu perkara sebelum melakukan sebarang tindakan yang bersandarkan desakan emosi semata-mata. Ketika dalam keadaan marah, manusia sebenarnya dikuasai syaitan yang akhirnya akan berlaku suasana tegang seperti kawan bertengkar sesama kawan atau anak mengherdik ibu bapanya”, jelas Abang Amran.
“Selain itu, Allah s.w.t berfirman bermaksud: "Dan Tuhanmu (Allah ) perintah, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. "Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uh', dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan-santun)." (Surah al-Israk ayat 23).”, jelas Abang Amran lagi.
“Abang Amran,bagaimana jika kita tak sengaja melepaskan marah terhadap orang lain?”, soal Balqis.
“Balqis, sifat marah akan timbul sesama kita, lebih-lebih lagi jika tiada persefahaman dalam sesuatu perkara. Satu pihak mula marah dengan pihak lain dan seterusnya mula timbul tuduh menuduh dan berprasangka buruk sesama sendiri. Lebih buruk, jika perasaan marah itu gagal ditenteramkan walaupun sebelah pihak mungkin sedaya upaya mententeramkan keadaan. Nabi Muhammad SAW pernah berpesan tiga langkah mengatasi rasa marah. Pertama adalah dengan mengawal lidah iaitu berdiam diri dan mengubah posisi, misalnya jika sedang marah dalam keadaan berdiri, duduk seketika. Kemudian, mengambil wuduk dan beristighfar serta membaca al-Quran”,beritahu Abang Amran.
“Adik-adik sekalian, kita sebenarnya tidak boleh menjadikan marah itu sebagai ukuran tepat untuk menggambarkan perasaan tidak puas hati. Kita masih mempunyai masa bagi mengawal percakapan daripada menuturkan kata-kata berunsur herdikan, cacian seterusnya membibitkan perasaan marah yang tiada taranya. Ini kerana setiap manusia mempunyai hati dan perasaan yang perlu dijaga. Kita sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil jalan 'pintas' iaitu terus memarahi tanpa selidik. Sudah tentu, tindakan marah kita itu akan menjadi sia-sia serta menjarakkan hubungan persaudaraan.”, pesan Abang Amran.
“Bagaimana jika seseorang itu sengaja menimbulkan kemarahan kita”, tanya Haiqal.
“Haiqal, walaupun orang yang dimarahi itu melakukan kesilapan, sekurang-kurangnya mereka perlu memberi peluang daripada melemparkan perasaan marah berkenaan. Marah boleh, tetapi jangan menjadi orang yang mempunyai sifat pemarah. Sebenarnya, apa yang terkandung daripada sifat marah itu perasaan benci terutama jika emosi menebal itu gagal dikawal sehingga terhambur perkataan cabar mencabar sehingga sanggup memberi ancaman kecederaan dan bunuh kepada individu lain”,
“Rasulullah s.a.w menganjurkan umatnya supaya tidak menjadi seorang yang pemarah seperti diriwayatkan Abu Hurairah, ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: "Berpesan kepadaku! Baginda berkata: Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun baginda masih tetap berkata: Jangan marah!" (Riwayat al-Bukhari). Ini menggambarkan bahawa kita perlu sabar dalam menangani perasaan marah”, jelas Abang Amran.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang menggelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah)." (Riwayat al-Tirmidzi).
“Tapi, bagaimana pula jika kita yang dimarahi sedangkan kita tidak melakukan kesalahan itu?”, soal Farhan.
“Begini Farhan, sekiranya kita dimarahi, janganlah pula menambah buruk lagi keadaan. Kita harus memainkan peranan bagi memadamkan api kemarahan itu.Allah ada berfirman yang bermaksud, : "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya." (Surah al-Syura ayat 37).”, jelas Abang Amran.
“Oh..begitu..”, kata Farhan.
“Baiklah adik-adik, setakat ini sahaja kisah Abang Amran pada kali ini. Diharapkan adik-adik dapat memahami apa yang disampaikan oleh Abang Amran ini. Adik-adik, Allah mencipta manusia ini sebagai sebaik-baik kejadian dan sebagai khalifah di muka bumi. Oleh itu, setiap bentuk emosi yang dianugerahkan oleh Allah itu adalah untuk kebaikan kita sendiri. Begitulah juga dengan sikap marah. Jika seseorang itu marah kerana nafsu maka ia akan membawa kepada keburukan sebaliknya jika marahnya itu kerana Allah maka ia akan membawa kepada kebaikan dan kemuliaan. Hidup ini perlu banyak bersabar dan berlapang dada. Hanya dengan kesabaran sahajalah akan wujudnya kejayaan, kebahagiaan dan kemakmuran.”, nasihat Abang Amran.
Wassalam.
____________________________________________________
Fuhh...Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga mengupload kesemua kisah Abg Amran ni. Cerita ni dikarang oleh kami ber3, (Aiza,Nieza,Dayah). Ini adalah esemen kiteorang untuk Persatuan Puteri Islam Sem1. Dalam ke empat-empat kisah ni, ada juga info-info yang kami cari di internet dan kami olah semula.
nak baca kisah Abang Amran yang lepas?
Klik tajuk dibawah.

0 budak mengomen: