Followers

Ahad, 30 Januari 2011

Abang Amran Bercerita Pt 1 “Dermawan"

Abang Amran Bercerita

“Dermawan”

(gambar hiasan)

“Assalamualaikum adik-adik..

Hari ini Abang Amran nak cerita mengenai sifat terpuji iaitu, dermawan. Abang Amran nak cerita lebih lanjut mengenai sifat dermawan ini supaya adik-adik lebih faham dan selalu mengamalkan sikap dermawan ini.

Adik-adik sudah bersedia?”

“Dah..kami sudah bersedia. Kami sudah tidak sabar lagi untuk mendengar cerita Abang Amran.”

“Sebelum itu, Abang ingin menjelaskan serba sedikit mengenai sifat dermawan. Dermawan adalah sifat murah hati dan banyak memberi. Untuk pengetahuan adik-adik, Allah juga bersifat maha pemurah. Kedermawaan-Nya berlipat kali ganda pada waktu tertentu, contohnya pada bulan Ramadhan. Allah menggandakan 10 kali ganda amalan baik yang dilakukan pada bulan tersebut.

Rasulullah ada bersabda yang bermaksud : “ Sesungguhnya orang yang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan dekat dengan Syurga, jauh dari Neraka. Sesungguhnya orang yang kikir (kedekut) itu jauh dari Allah, jauh pula dari manusia dan jauh dari Syurga, tetapi dekat dengan neraka. Seseorang yang bodoh tetapi dermawan itu lebih dicintai Allah daripada seseorang alim yang pandai tetapi kikir. Penyakit yang paling parah adalah kikir.”“

“Abang Amran, boleh tak terangkan lagi hadis tu dengan lebih lanjut. Balqis tak berapa faham la”

“Baiklah Balqis. Orang yang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan dekat dengan Syurga dan jauh dari Neraka bermaksud, seseorang yang murah hati akan dikasihi oleh Allah, keluarga, masyarakat, dan juga orang yang menerima derma itu. Segala sumbangan seseorang itu akan dikenang oleh semua orang. Contohnya, Balqis mendermakan sedikit wang untuk keluarga Firdaus yang ditimpa musibah baru-baru ini. Sifat pemurah Balqis akan menyebabkan keluarga Firdaus sangat menyayangi Balqis dan berprasangka baik kepada Balqis. Dan mungkin mereka akan mencontohi apa yang dilakukan oleh Balqis apabila meraka melihat orang yang lebih susah dari mereka.”

“Selain itu Balqis, Rasulullah juga pernah bersabda bahawa, sedekah itu tidak akan mengurangi harta dan tidaklah Allah menambah keampunan kepada seseorang melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang itu bertawadhu kepada Allah melainkan allah akan meninggikannya.”

“Ingat tau adik-adik, jika kita bersedekah, harta kita tidak akan berkurang, malah harta kita akan bertambah tau adik-adik. Jadi, adik-adik sekalian, Abang Amran harap adik-adik selalulah menderma dengan sepenuh keikhlasan adik-adik.”

“Abang Amran, macam mana jika Syafiq tak ada duit yang banyak untuk menderma? Syafiq tak nak masuk Neraka”

“Em..Bagus soalan tu Syafiq. Sedekah itu tidak mengira banyak atau sedikit. Sedekah juga bukan sahaja dengan cara memberikan wang, malah kita juga boleh memberikan sedekah berupa pertolongan, membantu orang yang dalam kesusahan dan banyak lagi.

Adik-adik sekalian, jika kita mempunyai wang walaupun sedikit, kita janganlah tangguh-tangguhkan untuk bersedekah. Janganlah menunggu apabila kita sudah kaya barulah kita mahu bersedekah. Berilah hanya seringgit. Lakukan setiap hari tanpa memikirkan rugi dan kekurangan wang kerana sesungguhnya berkat wang seringgit itu akan dilipat gandakan rezeki oleh Allah s.w.t di jalan yang tidak disangka-sangka. Ingatlah adik-adik, sesungguhnya tidak akan berkurangan harta yang disedekahkan”

“Adik-adik, Abang Am pernah terbaca satu kisah mengenai seorang ulama salaf, Ibnu Amir. Ibnu Amir telah membeli sebuah rumah yang berharga 90,000 dirham. Suatu malam, ketika beliau meninjau sekitar kediaman yang baru dibelinya, beliau terdengar tangisan orang-orang yang tinggal tidak jauh dari kediamannya. Ibnu Amir segera mendatangi mereka dan bertanya, lalu diberitahu bahawa orang-orang itu sedih dan menangisi rumah baru yang dijual mereka.

Maka, Ibnu Amir tahulah bahawa mereka merupakan pemilik asal kediaman berkenaan. Ibnu Amir segera mengarahkan pembantunya agar menyampaikan pesanan kepada penghuni itu bahawa wang yang telah diberikan dan rumah yang telah dibeli itu akan dihadiahkan semula kepada penghuni asal kediaman tersebut.

Sifat dermawan yang dimiliki Ibnu Amir tidak mungkin dapat dicontohi oleh kita hari ini.Oleh itu adik-adik, sifat dermawan itu haruslah diconohi untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.”

“Macam mana kita nak jadi seseorang yang dermawan Abang Am? Haiqal teringin sangat nak jadi dermawan.”

“Bagus tu Haiqal. Untuk menjadi seorang yang pemurah atau dermawan, kita boleh mempelbagaikan sedekah kita. Bukan sahaja kewangan, malah harta benda, pertolongan juga dikira sedekah. Jika kita juga tiada harta, dan tidak mampu untuk menolong, doa juga merupakan satu sedekah. Jadi, jika adik-adik Abang yang tidak ada harta benda untuk menderma, adik-adik boleh memohon kepada Allah supaya memurahkan rezeki mereka yang serba kekurangan.”

“Selain daripada itu, adik-adik bolehlah memilih individu yang boleh dicontohi seperti para nabi dan Rasul yang terkenal dengan sifat dermawan, sama ada kaya atau miskin. Rasulullah merupakan manusia yang paling dermawan, mulia berani dan amat sempurna dalam segala sifat terpuji. Kedermawaan baginda pada bulan ramadhan berlipat kali ganda berbanding bulan lain seperti kemurahan Allah berlipat kali ganda pada bulan itu.

Firman Allah ada menyebutkan mengenai bersedekah. Sekiranya kita dapat bersedekah semasa kita kekurangan wang sebenarnya kita telah membuka pintu-pintu kebaikan. Firman Allah yang bermaksud, kamu tidak sesekali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.”:

“Adik-adik yang abang Amran kasihi, jadilah diri kita bersifat pemurah, ringan tangan untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Tangan yang diatas lebih baik daripada tangan dibawah. Kata-kata ini sangat sinonim dengan sifat dermawan seseorang itu. Sifat pemurah ialah sifat yang terpuji. Jadi adik-adik, jangan dengar sahaja tau cerita Abang ni. Abang nak adik-adik mengamalkan sifat terpuji ini.

Setiap amal kebaikan itu adalah sedekah dan sesiapa yang menunjukkan kepada jalan kebaikan itu sama dengan orang yang melakukannya.Allah suka sekali pada sesiapa yang memberikan pertolongan kepada orang yang dalam kesengsaraan.

“Sangat menarik cerita Abang Amran tu, nanti bila Aiman keluar rumah dan terserempak dengan orang yang memerlukan, Aiman akan bantu mereka.”

“Bagus tu Aiman. Baiklah adik-adik, sampai disini sajalah kisah Abang Amran. Minggu depan Abang Amran ingin bercerita mengenai sifat amanah pula.”



P/s: ni, esemen sukasukisakan..hihi.

0 budak mengomen: